MELAKA: Melaka menyaksikan perubahan kepimpinan Ketua Menteri dalam tempoh kira-kira seminggu selepas Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri kelahiran Hang Tuah itu.

Peristiwa itu menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali melepaskan jawatan Ketua Menteri kepada ADUN Tanjung Bidara merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengangkat sumpah pada 31 Mac lepas.

Ia disusuli dengan pelantikan 10 barisan Exco membabitkan sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang ADUN mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 5 April serta pengumuman 10 Timbalan Exco pada keesokan harinya, membabitkan lapan ADUN BN dan dua ADUN PH.

Malah, Ab Rauf turut mengambil langkah berani untuk mewujudkan negeri pertama 'sifar' pembangkang apabila mempelawa dua ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang) namun ditolak kedua-dua individu tersebut.

Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata perubahan kepimpinan di peringkat negeri bukan perkara baharu dalam politik negara terutama apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan di peringkat Persekutuan terutama selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau berkata impak dan kesan negatif terhadap kerajaan negeri Melaka terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) amat rendah memandangkan negeri berkenaan masih mempunyai kira-kira tiga tahun untuk membuat persiapan.

"Malah, saya melihat Ab Rauf mempunyai merit untuk menjadi Ketua Menteri memandangkan beliau merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan tindakannya untuk membuat rombakan Exco dengan menyertakan ADUN PH juga adalah tepat.

"Saya lihat ini tindakan terbaik yang diambil Ab Rauf untuk mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) di Melaka. Rakyat sekarang hanya mahu melihat prestasi ditunjukkan Ab Rauf," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ditanya mengenai tindakan Ab Rauf melantik 10 Timbalan Exco bagi melicinkan pentadbirannya, Azizuddin berkata tindakan tersebut tidak mempunyai masalah jika tidak bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka.

Bagaimanapun beliau berkata Ab Rauf perlu menjelaskan beban kewangan yang ditanggung kerajaan negeri dengan pelantikan 10 Timbalan Exco berkenaan.

Mengulas mengenai pelawaan Ab Rauf agar dua ADUN PN menyertai kerajaan negeri pimpinannnya, Azizuddin berkata beliau tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana demokrasi memerlukan semak dan imbang daripada pembangkang.

"Kalau lagi banyak pembangkang lagi baik untuk sesebuah negeri atau negara itu walaupun ia tidak digemari oleh kerajaan. Justeru dua ADUN PN perlu memainkan peranan sebaik mungkin untuk menyuburkan demokrasi di Melaka," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Shafezah Abdul Wahab berkata beliau melihat pertukaran Ketua Menteri Melaka sebagai strategi daripada kerajaan campuran PH dan BN untuk mengukuhkan kedudukan terutama kedua-dua parti dalam menghadapi PRU16 nanti.

Beliau berkata bagaimanapun pertukaran kepimpinan di saat politik Melaka dilihat stabil bakal memberi kesan terhadap persediaan Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi PRN di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Langkah UMNO ini akan memberi kesan kepada prestasi, gerak kerja dan persepsi rakyat terhadap UMNO terutama menjelang PRN di enam negeri tidak lama lagi," katanya.

-- BERNAMA